KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membuat kejutan apabila muncul pada perbincangan meja bulat antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding hari ini.
Menerusi siaran langsung di Facebook MFL, Baginda yang juga pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat memasuki bilik meja bulat itu ketika perbincangan sedang berlangsung.
Difahamkan, dalam mesyuarat tersebut JDT diwakili oleh individu lain, namun baginda hadir secara tiba-tiba ketika sesi setiap kelab sedang memberikan pandangan dan cadangan masing-masing.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan; Ahli Lembaga Pengarah MFL, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan wakil daripada 13 kelab Liga Malaysia 2025-26.
Baginda pada mesyuarat itu menyuarakan pandangannya secara terus terang dan tegas, malah turut menyerahkan kertas kerja berhubung cadangan untuk perubahan bola sepak Malaysia ke arah lebih baik.
Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa terdapat beberapa perkara asas yang perlu diambil perhatian serius dan masalah itu sebenarnya sudah disuarakan baginda sebelum ini.
“Kita semua perlu lihat asas iaitu empat masalah utama dalam bola sepak Malaysia dahulu. Pertama kita tiada pembangunan akar umbi yang kompetitif.
“Kedua saya pernah suarakan pada 2018 iaitu pengadil profesional. Ketiga, penaja dan akhir sekali adalah disiplin mengurus kewangan,” titah Baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut menegur sikap pihak yang menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL apabila mengalami isu kewangan.
“Apabila ada isu kewangan ada pihak mula buat salah satu benda tidak bertanggungjawab, salahkan FAM dan MFL.
“Sedangkan yang mengurus kewangan adalah kelab masing-masing,” titah Baginda. – MYNEWSHUB


