Oleh Mynewshub
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari agar segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia yang kini berada di Jepun.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) kini ditempatkan di Tennoji Zoo dan perkembangan mengenai keadaan haiwan itu sedang menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk NGO serta rakyat Malaysia. 
Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana gajah tersebut merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.
“Sehubungan itu, saya menggesa Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia,” katanya.
Wan Rosdy turut mencadangkan agar ketiga-tiga gajah itu ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat semula jadi mereka.
Beliau menjelaskan, pusat konservasi itu mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, termasuk dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
“Dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya.
Isu melibatkan tiga gajah berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai pihak yang mempersoalkan kesesuaian penempatan haiwan itu di luar negara.
Perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada tindakan pihak berkuasa berkaitan serta kerjasama antara institusi yang terlibat.- MYNEWSHUB

