JOHOR BAHRU – Penganjuran majlis JDT Family Dinner yang dihadiri Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini meraih pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen.
Majlis yang melibatkan pemain, pegawai serta ahli keluarga mereka itu berlangsung dalam suasana santai dan mesra, sekali gus menjadi platform untuk warga pasukan berinteraksi di luar padang.
Rata-rata netizen menyifatkan program seumpama ini sebagai langkah terbaik dalam mengukuhkan hubungan dalaman antara pemain dan pihak pengurusan, selain membantu membina semangat kekeluargaan dalam pasukan.
Seorang pengguna media sosial, Yaacob Musa memuji pengurusan JDT yang disifatkan bertaraf dunia, lengkap dengan barisan jurulatih dan pemain berkualiti serta pemilik yang prihatin terhadap kebajikan pasukan.
Md Noor Shamat pula berpendapat pemain JDT pastinya gembira dengan layanan yang diberikan, yang menurutnya mungkin sukar dirasai di kelab lain sebelum ini.
Pandangan sama turut dikongsi Firdaus Ibrahim Nadison yang menyifatkan aktiviti “bonding” seperti itu jarang dilihat dalam kelab lain, manakala Asraf Husin menekankan kepentingan muafakat dalam membawa keberkatan kepada pasukan.
Sementara itu, Mohamed Yusof Panjian berpandangan suasana kekeluargaan seperti itu hanya dapat dilihat secara konsisten dalam JDT, sekali gus menjadi antara kekuatan utama kelab berkenaan.
Dalam masa sama, seorang lagi netizen, Cari Lena Namaku turut menarik perhatian apabila memuji gaya sederhana Tunku Mahkota Ismail dan keluarganya ketika menghadiri majlis tersebut.
Secara keseluruhan, JDT Family Dinner dilihat bukan sekadar acara sosial, tetapi juga pendekatan strategik dalam memperkukuh kesepaduan pasukan yang menjadi antara faktor kejayaan kelab itu di dalam dan luar padang. – MYNEWSHUB


