SHAH ALAM – Dewan di-Raja Selangor menzahirkan kekesalan dan mengecam sekeras-kerasnya satu hantaran di media sosial yang disifatkan menghina Institusi Diraja Selangor.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, ahli-ahli Dewan di-Raja memaklumkan bahawa hantaran berunsur provokatif itu dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun menggunakan nama “Huayan The Pureland Learning Center”, yang turut melibatkan suntingan gambar menghina Sultan Selangor.
Menurut kenyataan itu, tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan bukan sahaja biadap, malah merupakan satu penghinaan serius terhadap Institusi Diraja yang berperanan sebagai tonggak kestabilan dan keharmonian negara.
“Perbuatan ini boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini dan tidak boleh dipandang ringan,” menurut kenyataan tersebut.
Dewan di-Raja Selangor turut menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar melibatkan sensitiviti, sebaliknya menyentuh martabat Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada rakyat serta simbol perpaduan negara.
Sehubungan itu, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat.
Antara agensi yang disebut termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
BACA : Pentadbir Akaun HuaYan The Pureland Learning Centre Dipanggil MCMC
Dalam masa sama, Kementerian Komunikasi turut disaran memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik masyarakat agar lebih beretika ketika menggunakan media sosial serta memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan integriti dalam penyebaran maklumat.
Dewan di-Raja Selangor juga menyeru rakyat agar menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perpaduan masyarakat.
“Sebagai rakyat dalam negara majmuk, setiap individu perlu memelihara keharmonian antara kaum demi memastikan keamanan negara terus terjamin,” jelas kenyataan itu lagi.
Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung insiden tersebut.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor bertarikh 27 April 2026.

