KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru UMNO kembali menjalin kerjasama politik bersama PAS dan Bersatu dalam usaha memperkukuh penyatuan parti-parti Melayu di negara ini.
Annuar yang kini Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat menegaskan, kegagalan parti-parti Melayu bersatu memberi kesan besar kepada kekuatan politik Melayu walaupun berkongsi aspirasi dan semangat yang sama.
Dalam satu kenyataan, beliau menekankan sekurang-kurangnya dua parti Melayu menggunakan perkataan “Bersatu” dalam nama dan perjuangan, namun realitinya masih gagal mencapai kesepaduan politik.
“Sedangkan jika tiga parti ini bersatu hari ini, mereka mampu memerintah hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Pulau Pinang dan Selangor.
“Tetapi tidak… mereka, terutama UMNO, memilih untuk berpecah, malah mengangkat parti yang tidak berteraskan Melayu untuk memerintah.
“UMNO yang memilih untuk berpecah kini dihukum oleh pengundi Melayu dan menjadi parti kecil di Parlimen serta hampir pupus di negeri-negeri Melayu.
“Apakah ini belum cukup sebagai pengajaran politik buat UMNO dan parti-parti Melayu?” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Annuar berkata UMNO mengumumkan untuk bergerak solo bermaksud berlawan sesama parti Melayu dan belum mempunyai kekuatan untuk menentang DAP serta PKR.
Katanya, ia secara tidak langsung UMNO menjayakan strategi DAP, di mana parti itu akan berkuasa jika parti Melayu memilih untuk berpecah.
“UMNO tidak perlu mengabui mata ahlinya sendiri dengan membuat ‘Rumah Bangsa’. Ini kerana rumah bangsa tidak terbina atas perpecahan atau sekadar bersatu dengan satu dua kerat bekas ahli UMNO.
“Perkara paling mudah untuk UMNO diterima semula ialah kembali bersama memimpin muafakat Melayu dengan PAS serta memupuk penyatuan politik antara PN dan BN.” – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tan Sri Annuar Musa


