KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mak Khuin Weng berkongsi pandangan beliau tentang kontroversi membabitkan isu penternakan babi di Selangor.
Beliau dalam satu hantaran di media sosial mendakwa pengalaman di Pulau Pinang menunjukkan pencemaran masih berlaku walaupun dengan menggunakan sistem penternakan tertutup.
Justeru, beliau mempersoalkan keberkesanan cadangan sistem penternakan tertutup ladang babi yang sama di kawasan kira-kira 200 hektar di Bukit Tagar, Selangor.
“Cara penyelesaian sisa babi masa ia diutarakan Exco dulu sistem ladang babi tertutup juga, tiada beza dengan apa yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan katakan.
“Masalahnya adalah sistem tertutup itu digunakan di Pulau Pinang juga dan pelupusan sisa di sana menggunakan lori melalui jalan darat dan memang ada juga pencemaran alam sekitar.
“Dan kamu nak buat sistem ini untuk ladang 200 hektar? Ia bukannya sistem yang bersih dan efisien yang cuba diiklankan. YB (Yang Berhormat) DAP tak menyentuh hal ini,” dakwanya.
Hantaran tersebut turut dikongsikan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman media sosial beliau hari ini.
Terdahulu, Khuin Weng berkata, isu ladang babi timbul sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), namun isu itu tidak menimbulkan permasalahan.
Bagaimanapun, katanya, isu tersebut menjadi sangat sensitif apabila dikendalikan Pakatan Harapan selepas menerajui kerajaan Selangor.
“Isu ladang babi ini kan, dari zaman BN tiada masalah, tapi bagi saja pakatan kendalikan, ia jadi isu sangat sensitif,” dakwanya.
Justeru, katanya, beliau sendiri tidak mahukan ladang babi jika sikap sambil lewa seperti itu ditunjukkan dalam perbincangan isu tersebut.
Beliau secara sinis menegur wakil rakyat DAP mungkin cuba memberi ‘talian hayat’ kepada ladang babi sedia ada walaupun tidak dinyatakan secara spesifik dalam ucapan.
“BN bagi saja mereka wujud, tutup satu mata. Pakatan ambil alih, semua ingat bisnes, nak buat besar-besaran, tiada pertimbangan apa yang rakyat berbilang kaum nak,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mak Khuin Weng


