KUALA LUMPUR — Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan bahawa dunia kini berdepan krisis bekalan global yang tidak lagi bersifat sementara, sebaliknya memberi tekanan berpanjangan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
Menurut beliau, situasi semasa bukan sekadar melibatkan turun naik harga minyak, tetapi telah berkembang menjadi krisis menyeluruh yang menjejaskan kos tenaga, logistik, bahan mentah, makanan dan perkhidmatan.
Keadaan ini, katanya, menandakan peralihan daripada fasa kejutan awal kepada fasa pengurusan tekanan jangka panjang.
“Sekiranya ketidaktentuan ini berlanjutan, impaknya kepada kos tenaga dan rantaian bekalan global boleh mengambil masa sehingga 18 bulan untuk kembali stabil, bergantung kepada perkembangan geopolitik dan pemulihan laluan perdagangan,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketidaktentuan di Selat Hormuz masih belum menunjukkan penyelesaian yang meyakinkan, walaupun terdapat perkembangan diplomatik tertentu.
Kata beliau, risiko bukan hanya melibatkan gangguan bekalan fizikal, tetapi juga peningkatan kos insurans, premium risiko, kelewatan penghantaran serta gangguan rantaian bekalan global.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, purata harga minyak mentah Brent global bagi tempoh 13 hingga 17 April 2026 dilaporkan menurun sebanyak 11.6 peratus daripada AS$131.67 setong kepada AS$117.85 setong.
Namun, beliau menegaskan bahawa turun naik itu tidak menandakan krisis telah reda, sebaliknya mencerminkan ketidaktentuan yang masih berterusan.
Akmal Nasrullah menambah, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan global tersebut dan perlu bersedia menghadapi impak yang datang daripada pelbagai sudut. – MYNEWSHUB


