KUALA LUMPUR – Generasi hari ini diminta supaya memahami dan bersedia menghadapi realiti baharu bahawa zaman Malaysia ‘kaya’ dengan hasil minyak sudah berlalu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ahli politik juga perlu berhenti menggunakan isu minyak untuk ‘gula-gulakan’ rakyat.
“Masalahnya bila isu harga minyak terus dipolitikkan, seolah-olah semuanya boleh diselesaikan dengan janji dan slogan. Sedangkan hakikatnya, ruang kita makin sempit
“Kalau terus bermain dengan sentimen lama, kita hanya menangguhkan masalah, bukan menyelesaikannya.
“Realitinya pahit, tapi itu yang perlu kita hadapi untuk bergerak ke depan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Rafizi berkata, sekarang semua pihak sudah tahu harga petrol dan diesel sangat terdedah kepada geopolitik dunia yang tidak menentu.
Menurut beliau, dunia sudah berubah dan Malaysia hari ini bukan Malaysia 20 tahun lalu kerana realitinya berbeza.
“Kos pengeluaran semakin tinggi, margin semakin mengecil. Malah, Petronas sendiri pun berdepan tekanan yang sama.
“Ini bukan soal suka atau tak suka. Ini soal makro. Soal ekonomi global yang kita tak boleh kawal sepenuhnya.
“Sebab itu, National Energy Transition Roadmap (NETR) diperkenalkan. Fokusnya jelas, kurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas.
“Bina sumber tenaga yang lebih pelbagai dan mampan untuk jangka panjang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


