KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook supaya memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar berbanding alasan berhubung isu integrasi sistem pengangkutan awam.
Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan mengapa kementerian menyatakan kesukaran untuk mengintegrasikan sistem antara Rapid KL dan KTM Komuter sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah merancang sasaran sistem pengangkutan awam bersepadu menjelang 2027.
Menurutnya, ketika pentadbiran BN, pembangunan dan naik taraf pengangkutan awam dijadikan agenda utama di bawah Pelan Transformasi Negara (NTP) termasuk menjadikan jaringan rel sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong aspirasi negara berpendapatan tinggi.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan termasuk ketika era Tun Mahathir Mohamad dan kini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak meneruskan pelan sedia ada walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Apa pula kerajaan PH 1.0 zaman Tun Dr. Mahathir dan PH 2.0 zaman Datuk Seri Anwar di mana Loke adalah Menteri Pengangkutan buat selepas dapat kuasa?
“Mengapa tidak mahu sambung pelan zaman BN yang jelas memiliki hala tuju yang memanfaatkan rakyat dan negara?
“Adakah kerana mereka terlalu sombong dan angkuh untuk mengakui kebaikan dan sumbangan BN?,” katanya dalam satu kenyataan.
Jie Sen turut menggesa Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan terhadap isu berkenaan, selain segera menangani gangguan perkhidmatan rel yang dilihat semakin kerap kebelakangan ini.
“Adakah kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan yang dipimpin Menteri dari DAP tidak mampu berfikiran ke hadapan dan menaik taraf sistem pengangkutan awam negara?
“Rakyat sebagai pengguna sudah muak dengan pelbagai alasan diberi,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA


