KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa masalah yang berlaku ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan hasil negara, sebaliknya disebabkan kelemahan pentadbiran termasuk sikap tidak amanah dan kejahilan.
Dakwa beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat pemimpin yang tidak cekap, kurang ilmu serta bersikap seolah-olah mengetahui semua perkara, sekali gus menjejaskan pengurusan negara.
Beliau turut mengkritik amalan pengagihan sumber yang didakwa tidak adil apabila kekayaan negara hanya diberikan kepada kelompok tertentu seperti penyokong, kroni dan pengampu, manakala rakyat yang memerlukan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang bukan kerana hasil tidak mencukupi, tetapi berpunca daripada mereka yang bebal, tidak amanah dan jahil terhadap agama.
“Bahkan khianat terhadap harta negara dan berlaku zalim terhadap rakyat kerana tidak berlaku adil kepada semua kerana memberi secara terpilih mengikut penyokong, kroni dan pengampu sahaja.
“Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidakcekapan, kekurangan ilmu serta sikap berlagak tahu segala-galanya,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam kenyataan sama, beliau membandingkan situasi dengan beberapa negara lain yang mempunyai hasil melimpah ruah sehingga harga bahan bakar lebih murah berbanding air minuman.
Namun, katanya, kekayaan itu disalah guna melalui perbelanjaan berlebihan dan pelaburan yang tidak memberi manfaat kepada golongan miskin.
“Bantuan juga ada yang bocor dan tidak sampai kepada rakyat, malah ada yang dinafikan kepada pihak tertentu hanya kerana dianggap musuh,” katanya.
Tambah beliau, terdapat juga kerajaan yang boros dalam perbelanjaan untuk pemimpin, tanpa mengutamakan kebajikan rakyat khususnya golongan miskin.
Malah, katanya, ada sumber yang diperoleh secara tidak sah sehingga menghilangkan keberkatan hasil negara.
Mengulas isu kos sara hidup, beliau berkata kegagalan mengawal harga barangan keperluan seperti diesel memberi kesan besar kepada golongan seperti petani, nelayan dan pekerja sektor pembangunan, berbanding keutamaan yang lebih diberikan kepada golongan berada.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa harta negara perlu diurus dan diagihkan secara adil, selain menuntut kepimpinan yang berakhlak dan berilmu dalam mentadbir negara.
“Harta negara diambil dengan adil dan perlu dibahagikan dengan adil juga, mewajibkan para pemerintah yang berakhlak dan berilmu, bukan pemimpin yang bebal atau bangang,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


