REMBAU – Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mempertimbang semula tindakan menyekat Selat Hormuz yang dilihat berpotensi menggugat bekalan tenaga serta kestabilan ekonomi global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu boleh menjejaskan pergerakan kapal dagang dan kargo keluar masuk selat berkenaan, sekali gus memberi kesan besar kepada bekalan tenaga dunia serta bahan penting seperti baja urea.
Menurut beliau, tindakan tersebut juga menimbulkan persoalan kerana sebelum ini AS menggesa kerjasama antarabangsa bagi memastikan laluan strategik itu kekal terbuka.
“Tujuannya saya tidak pasti kerana sepatutnya Selat Hormuz ini tidak dikepung. Sebelum ini Iran telah bersetuju membuka selat itu dengan syarat tertentu yang dibincangkan dalam rundingan di Islamabad.
“Sekatan ini hanya akan memburukkan keadaan ekonomi dunia, termasuk sektor pertanian dan bekalan tenaga yang akan menjadi lebih meruncing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan AS perlu membuka sebarang bentuk kepungan dan semua pihak terlibat harus kembali ke meja rundingan bagi memastikan kelancaran laluan perdagangan antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua pihak termasuk Iran agar memastikan Selat Hormuz terus dibuka demi kesejahteraan global.
“Perang antara AS dan Iran atau Iran dan Israel adalah konflik mereka. Dunia tidak boleh dijadikan tebusan untuk apa jua tujuan,” katanya. – MYNEWSHUB


