KAMPALA – Ketua Angkatan Pertahanan Uganda, Muhoozi Kainerugaba, mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila didakwa membuat tuntutan luar biasa terhadap Turkey, termasuk bayaran sebanyak USD1 bilion serta seorang wanita yang digelarnya sebagai “paling cantik di negara itu” untuk dijadikan isteri.
Muhoozi, yang juga anak kepada Presiden Uganda, Yoweri Museveni, mendakwa negaranya tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan dalam usaha keselamatan serantau, khususnya di Somalia.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi platform X (Twitter), beliau menegaskan Uganda berhak menerima pampasan kewangan susulan peranan aktif negara itu dalam misi keselamatan di rantau tersebut.
Lebih mengejutkan, Muhoozi turut memberi amaran keras bahawa Uganda akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Turki serta menutup kedutaan negara itu di Kampala dalam tempoh 30 hari sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.
Dalam siri hantaran sama, beliau turut mengkritik penglibatan Turki dalam projek perniagaan dan pembangunan infrastruktur di Mogadishu, termasuk pengurusan pelabuhan dan lapangan terbang, yang menurutnya memberi manfaat besar kepada Ankara tanpa mengambil kira sumbangan Uganda.
Kenyataan paling mencetuskan kecaman adalah apabila beliau secara terbuka meminta Turki menyerahkan “wanita paling cantik di negara itu” untuk dikahwini, satu permintaan yang dianggap tidak wajar dan mencerminkan sikap tidak profesional seorang pegawai tinggi tentera.
Setakat ini, pihak Turki belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung kenyataan berkenaan.
Kontroversi ini dijangka memberi kesan terhadap hubungan diplomatik kedua-dua negara serta mencetuskan perdebatan mengenai etika dan peranan pegawai tentera dalam komunikasi awam.

