KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin berkongsi detik menyentuh hati apabila berpeluang bertemu bapanya di mahkamah baru-baru ini.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, walaupun Najib sedang menghadapi ujian, tetapi ingatan bapanya kepada rakyat tidak pernah luntur dengan menyampaikan salam kasih kepada semua.
Menurutnya, dalam pertemuan singkat itu, Najib malah menunjukkan keprihatinan terhadap keadaan rakyat dengan berkongsi pandangan mengenai isu harga minyak yang sedang membebankan negara.
“Alhamdulillah, ayahanda masih sihat dan kuat. Dalam masa yang singkat itu, beliau sempat berkongsi pandangan isu harga minyak serta mengirimkan salam kasih kepada semua,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Mohd. Nazifuddin, bapanya berkongsi dua perkara yang sepatutnya boleh membantu negara menghadapi krisis harga minyak antaranya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sumber kewangan yang lebih stabil dan berterusan.
Jelasnya, sistem cukai itu sebelum ini berjaya menjana puluhan bilion ringgit yang boleh disalurkan terus kepada rakyat melalui pelbagai jenis bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
“Dulu kita laksanakan GST kutipan awal sudah RM20 bilion. Kalau kita ada GST sampai hari ini mungkin mencecah RM60 hingga RM70 bilion. Tak perlu tunggu wang daripada Petronas. Terus kita boleh bawa bantuan kepada rakyat sebab kutipan GST ‘real time’ boleh dapat terus.
“Waktu dulu bantuan BRIM dah boleh sampai RM1,200. Kalau kita teruskan dan ambil 30 peratus sahaja daripada GST berikan kepada saluran untuk bantuan rakyat, boleh dapat BRIM (tahun 2026) sampai RM2,800.
“Ramai yang jumpa saya kata rindukan BRIM kerana BRIM bukan dalam kad pengenalan, terus masuk dalam akaun dan boleh guna bila ada krisis macam krisis minyak. Bolehlah GST menjadi ‘buffer’ membantu rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Najib turut menekankan kepentingan sistem pengangkutan awam yang menyeluruh yang sebelum ini dirancang melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD
Menurutnya, perubahan dasar dan perancangan selepas pertukaran kerajaan menyebabkan beberapa projek tidak dilaksanakan sepenuhnya sekali gus memberi kesan kepada rakyat dari segi kos sara hidup.
Ujar beliau, Najib berpandangan jika sistem itu dilaksanakan seperti dirancang dahulu, rakyat mungkin mempunyai alternatif lebih baik berbanding bergantung kepada kenderaan sendiri ketika harga minyak meningkat.
“Tapi malangnya bila pertukaran kerajaan dan perancangan, banyak pelan yang ada berubah. Konon boleh jimat wang untuk projek-projek dan sebagainya, tapi akhirnya apa yang jadi? Mereka ‘potong’ projek, pendekkan stesen dan sebagainya.
‘Perancangan jadi tak menyeluruh dan projek ‘public transport’ itu macam sekerat jalan sahaja. Jadi benda-benda macam itu sedar atau tidak menjadi kerugian kepada rakyat.
“Malangnya nak dapatkan keadaan tu kembali agak sukar. Sekarang dengan harga barang lebih tinggi, kita nak buat macam dulu menjadi satu kos dan beban yang tinggi,” katanya. – MYNEWSHUB


