KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan sedikit simpanan mereka untuk menampung peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, kerajaan wajar memanggil pencarum-pencarum KWSP untuk mendengar sendiri pandangan mereka, selain mempertimbangkan cadangan pengeluaran bersasar bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ketika ini.
“Bagi sikit keluaran untuk bolehkan mereka menghadapi tekanan hidup. Minyak naik Anwar. Barang tak lama lagi akan melambung. Itu yang penting. KWSP kena diselesaikan,” katanya menerusi satu rakaman video.
Dalam masa sama, Shahidan turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan Jelajah Madani bagi mendekati rakyat secara langsung, termasuk bertemu golongan pemandu lori dan pemandu bas yang terkesan dengan peningkatan kos.
Beliau juga menjemput Perdana Menteri untuk turun ke Parlimen Arau bagi berdialog dan memberi penjelasan berhubung isu kenaikan harga minyak serta kos sara hidup.
“Jumpa dengan rakyat PMX dan kalau mari ke Parlimen Arau, saya akan ada di sana. Masa itu PMX bagi penerangan tentang (harga) minyak Jangan tempik ini pembangkang tak guna,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Shahidan Kassim


