KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menurunkan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah demi kepentingan masa depan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika kuota asal dikembalikan boleh membebankan rakyat pada masa depan.
“Saya boleh luluskan (kembalikan kuota) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua ‘happy’ sementara, selepas itu masing-masing terima beban. Tidak boleh.
“Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan perlu memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, memang ada pihak terkesan dengan pengurangan kuota BUDI95, tetapi mengembalikan kuota asal tidak menyelesaikan masalah majoriti rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan cuba membantu melalui pelbagai inisiatif khususnya untuk sektor yang terjejas seperti pelancongan.
“Kita perlu dengar dan selesaikan secara berperingkat,” katanya. – MYNEWSHUB


