KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin meluahkan rasa kesal terhadap pendekatan kerajaan dalam berhadapan impak kenaikan harga minyak global.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, pendekatan kerajaan ketika ini sangat berbeza berbanding zaman pentadbiran bapanya yang sentiasa membela dan mengutamakan rakyat.
Exco Pemuda UMNO itu berkata, sejak dulu rakyat Malaysia memang tidak terkecuali dari kesan kenaikan harga minyak dunia, tetapi hari ini rakyat mula bertanya siapa yang sebenarnya dibela oleh kerajaan.
“Dulu di bawah Najib Razak rakyat ada satu keyakinan bahawa kerajaan akan bantu dan bantu dengan cepat, subsidi kekal meluas, bantuan tunai sampai terus kepada rakyat, fokus jelas kurangkan beban dahulu, kira kemudian.
“Hari ini perasaan itu semakin hilang di bawah (pentadbiran) (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim, subsidi dikurangkan, kuota BUDI95 diturunkan, rakyat diminta ‘memahami keadaan fiskal’
‘Tetapi di lapangan rakyat bukan perlukan penjelasan, rakyat perlukan penyelesaian,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mohd. Nazifuddin berkata, beliau melihat sendiri kesan pendekatan kerajaan dalam isu harga minyak terhadap penduduk Kedah khususnya Langkawi.
Menurut beliau, hasil tinjauan di Langkawi dan beberapa kawasan di Kedah menunjukkan ramai golongan terkesan masih bergelut dengan realiti ekonomi semasa.
“Pemandu pelancong kos naik, pendapatan tak stabil, pekerja ulang-alik jauh minyak jadi beban utama, anak muda hidup makin ketat walaupun sudah berjimat,” katanya.
Tambahnya, situasi tersebut menjadi lebih membimbangkan apabila wujud ketidakseimbangan dalam pelaksanaan dasar subsidi oleh kerajaan semasa.
Beliau memberi contoh tentang dakwaan pemegang lesen memandu dari Singapura boleh mengakses minyak bersubsidi sedangkan masih ada rakyat belum menerima atau tidak mendapat kuota mencukupi di bawah BUDI95.
“Kalau ini benar berlaku di lapangan, ini bukan lagi isu dasar. Ini isu keadilan pelaksanaan,” katanya.
Mohd. Nazifuddin turut menyifatkan kerajaan hari ini dilihat terlalu ‘laid back’ dalam menangani isu berkenaan.
“Reaksi lambat, pendekatan terlalu umum, kurang tindakan spesifik untuk golongan paling terkesan sedangkan tekanan rakyat berlaku setiap hari, bukan setiap pengumuman,” katanya.
Beliau turut membandingkan pendekatan Malaysia dengan beberapa negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Perancis yang menurutnya lebih agresif dalam menguruskan impak kenaikan harga bahan api.
Kata beliau, Indonesia masih mengekalkan subsidi bahan api besar-besaran, Thailand pula menggunakan dana khas untuk menstabilkan harga minyak dan diesel, manakala Perancis memberi bantuan langsung kepada pekerja berpendapatan rendah.
“Negara lain faham, bila minyak naik, kerajaan perlu bertindak lebih tegas, bukan lebih berhati-hati,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan apabila rakyat bersuara, Anwar dilihat lebih cepat menjawab kritikan daripada menyelesaikan masalah.
“Seolah-olah fokus lebih kepada mempertahankan diri, bukan memperbaiki keadaan. Hakikatnya, jika dasar itu cukup kuat dan berkesan, rakyat tidak perlu marah,” katanya lagi.
Walaupun tidak menolak reformasi dan pendekatan subsidi bersasar, Mohd. Nazifuddin menegaskan kerajaan masih belum melakukan secukupnya dalam memastikan pelaksanaan yang adil dan pantas.
“Jika keadaan ini berterusan, tekanan kos hidup akan meningkat, golongan mobiliti tinggi akan terus terhimpit dan keyakinan rakyat akan semakin terhakis,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa situasi tersebut boleh berkembang menjadi krisis lebih besar sekiranya tidak ditangani segera.
“Saya tidak bercakap dari meja pejabat. Saya turun sendiri, saya dengar sendiri. Retakan itu sudah mula kelihatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan akan terus menunggu keadaan menjadi lebih buruk atau mengambil tindakan segera bagi meredakan tekanan yang dihadapi rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nazif Najib


