KUALA LUMPUR – Ramai menyangka menjadi Ketua UMNO Bahagian hari ini masih seperti zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, hakikat keadaan kini sangat berbeza sebagai Ketua UMNO Bahagian.
“Amanah ini datang bersama tanggungjawab yang jauh lebih besar, di mana segala perbelanjaan perlu ditanggung sepenuhnya tanpa sebarang bantuan.
“Daripada menganjurkan program, membantu masyarakat, mengurus mesyuarat cawangan dan bahagian, persidangan agung UMNO sehingga kepada permohonan bantuan NGO di kawasan semuanya perlu digalas dengan penuh komitmen,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Armand Azha berkata, beliau bagaimanapun tidak pernah terlintas walau sesaat untuk meninggalkan perjuangan UMNO kerana ia adalah amanah daripada akar umbi UMNO yang wajib dihormati dan dipertahankan.
Menurutnya, beliau sebagai pejuang parti akan terus istiqamah dalam perjuangan UMNO kerana UMNO telah banyak membentuk dirinya melalui pelbagai pengalaman dan asam garam dalam dunia politik.
“Ia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya. Saya orang UMNO. Orang perjuangan. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat sejak 7 Januari 1995 hingga kini,” katanya.
Terdahulu, Armand Azha berkata, beliau bersyukur Alhamdulillah diberikan amanah untuk penggal kedua sebagai Ketua UMNO Bahagian dalam satu tempoh yang cukup mencabar ketika UMNO melalui fasa sebagai pembangkang dan juga sebahagian daripada kerajaan dalam penggal ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Armand Azha


