KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan jumlah sebenar keuntungan bersih tambahan yang diperoleh Petronas susulan konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, perkara itu perlu dijelaskan secara telus kerana rakyat merupakan pihak yang menanggung kesan kenaikan harga minyak.
Katanya, persoalan utama adalah berapakah keuntungan tambahan yang diperoleh Petronas selepas mengambil kira peningkatan kos operasi, hasil daripada kenaikan harga minyak dan gas di pasaran antarabangsa.
“Isunya, selepas ditolak kos, berapakah keuntungan tambahan Petronas daripada eksport minyak dan gas kesan kenaikan harga jualan global,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau mendakwa, walaupun Malaysia mengimport minyak mentah dalam jumlah lebih tinggi berbanding eksport, negara sebenarnya masih berpotensi meraih keuntungan.
“Kita import minyak mentah lebih banyak dari yang kita export. Namun yang kita export minyak mahal, yang kita import minyak murah. Di situ pun kita sudah ada untung walaupun volume import lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, sekiranya urus niaga import dan eksport tersebut tidak menguntungkan, ia tidak akan diteruskan.
“Jika kita rugi dari urusniaga contra import-export ini, buat apa pergi import minyak luar dan export minyak kita dan buat kerja bodoh dan rugi?
“Tentunya ia mendatangkan untung sebab itu kita buat, jika ia rugi lebih baik kita tidak perlu export dan guna minyak kita sendiri sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan keuntungan yang diperoleh daripada eksport gas asli cecair (LNG), yang menurutnya turut mencatat peningkatan harga ketara akibat krisis geopolitik.
“Harga LNG meningkat tinggi dan kita mengeksport dalam jumlah besar. Sudah tentu keuntungan daripada sektor ini juga meningkat,” jelasnya.
Mengulas isu subsidi pula, Isham mendakwa angka RM4 bilion sebulan yang sering disebut oleh pihak kerajaan bukan kos sebenar, sebaliknya hanya bersifat kos kesempatan (opportunity cost)
“Angka itu hanyalah kos teori atau andaian, bukan jumlah sebenar yang dibayar oleh kerajaan,” katanya sambil mengkritik pihak yang menerima angka tersebut tanpa penelitian lanjut. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Isham Jalil


