KUALA LUMPUR – Pihak kuil mahu memasuki semula tanah Yayasan Kubra bagi mengadakan upacara ritual selama 30 minit pada setiap hari di tanah yayasan tersebut.
Peguam Aidil Khalid berkata, perkara itu dinyatakan dalam laporan ‘cover report’ yang dibuat oleh pihak kuil pagi tadi.
“Ustaz Ismail Mina selaku pemegang amanah Yayasan Kubra nyatakan tiada kompromi terhadap permintaan pihak kuil itu. Jangankan setiap hari 30 minit, bahkan satu hari pun tidak boleh.
“Ustaz Ismail sebut, syirik walaupun sesaat, tidak boleh dibenarkan. Saddu Zara’i – wajib sekat, cegah, sebelum parah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Aidil berkata, pihak berkuasa meminta hantaran di media sosial tidak mengapi-apikan isu tersebut memandangkan belum lagi ada sebarang pencerobohan semula ke atas tanah Yayasan Kubra.
“Jadi dalam hal ini, kita boleh bekerja sama dengan permintaan, kita lapor setakat apa yang berlaku sahaja dan kekal di atas laporan yang benar.
“Jangan menambah-nambah untuk mengapi-apikan perkara yang tidak benar,” katanya.
Kata beliau, pihak berkuasa menyatakan jika ada apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak yang bersalahan dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam, maka tindakan akan diambil.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan tuntutan pihak kuil sekali gus mengesahkan ‘ketuan-punyaan’ Yayasan Kubra. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Aidil Khalid


