KUALA LUMPUR – Sebanyak RM9.24 juta telah diagihkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada 462 rumah ibadat Hindu di seluruh negara menerusi Program Dharma Madani.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah itu termasuk inisiatif Program Dharma Madani Siri Kedua yang melibatkan RM6 juta disalurkan kepada 300 buah kuil.
Jelas beliau, program itu secara keseluruhan menyasarkan lebih 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara dengan jumlah peruntukan RM20 juta.
“Setiap rumah ibadat yang memenuhi syarat dan tatakelola yang ditetapkan akan menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM20,000,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Ramanan yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, program Dharma Madani bertujuan memperkukuh peranan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti setempat.
Menurut beliau, ia termasuk melalui penganjuran kelas tuisyen untuk keluarga kurang berkemampuan, bengkel belia serta pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan kerohanian.
“Saya berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa program kerohanian, pendidikan dan pembangunan generasi muda termasuk kelas kebudayaan, bimbingan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak kita.
“Inilah komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan tiada komuniti yang tertinggal, serta setiap lapisan masyarakat terus diberdayakan dalam arus pembangunan negara,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun media sosial Ramanan Ramakrishnan Official Media


