KUALA LUMPUR – Sin Sing Coffee Sdn. Bhd. menafikan isu penggunaan peralatan pembersihan tidak mematuhi piawaian halal ada kaitan dengan syarikat itu.
Dalam satu kenyataan, pihak syarikat menjelaskan bahawa maklumat serta gambar yang tersebar di media sosial itu langsung tidak berkaitan dengan operasi mereka.
Menurutnya, imej yang tular bukan menunjukkan persekitaran mahupun peralatan sebenar yang digunakan dalam proses pengeluaran produk kopi syarikat berkenaan.
“Untuk makluman, kami hanya menumpukan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut seperti yang didakwa,” kata kenyataan itu.
Tambah syarikat itu lagi, mereka sentiasa mematuhi sepenuhnya piawaian serta keperluan pensijilan halal Malaysia dalam setiap proses pengeluaran.
“Semua operasi kami adalah selaras dengan garis panduan kebersihan dan syariah yang ditetapkan. Status halal kami masih sah dan diiktiraf,” katanya.
Orang ramai juga boleh membuat semakan status halal produk melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan carian ‘Sin Sing Coffee’
Dalam pada itu, syarikat yang telah beroperasi lebih 67 tahun itu menegaskan komitmen berterusan mereka dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham. – MYNEWSHUB
