KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan pelarasan had kelayakan BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa hari ini hanya bersifat sementara.
Menurut kenyataan itu, pelarasan tersebut merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.
Dalam masa sama, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Had pengisian ditetapkan mengikut kategori kenderaan, iaitu maksimum 50 liter setiap pembelian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian.
Bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan pula, had maksimum adalah 100 liter setiap pembelian, manakala kenderaan melebihi tiga tan ditetapkan had maksimum 150 liter setiap pembelian.
Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan turut mempertimbang langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus serta terus memanfaatkan rakyat.
Kerajaan Madani menegaskan akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah demi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara. – MYNEWSHUB


