KUALA LUMPUR – Perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menyentuh hati ramai apabila mendedahkan kisah seorang lelaki dari Sarawak yang memeluk agama Islam selepas melalui pencarian spiritual yang panjang.
Menurut beliau, lelaki berkenaan yang berasal daripada keluarga beragama lain mula tertarik dengan Islam selepas bergaul rapat dengan rakan-rakan muslim.
Katanya, minat itu mendorong individu terbabit mendalami ilmu agama khususnya mengenai konsep ketuhanan dalam Islam yang disifatkan mudah difahami.
“Pada masa yang sama, beliau juga memikirkan persoalan tentang kematian,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, persoalan tersebut menjadi titik tolak kepada pencarian jawapan melalui pelbagai kuliah agama yang dihadiri.
Malah, lelaki berkenaan mendedahkan hasrat untuk memeluk Islam sebenarnya sudah lama terdetik dalam hatinya.
“Sebenarnya, saya sudah ada niat (masuk Islam) dari tahun lepas,” katanya.
Difahamkan, beliau akhirnya memberanikan diri untuk meminta bantuan seorang rakan bagi membawanya ke pejabat Multiracial Reverted Muslims (MRM)
Hari ini, hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila beliau selamat mengucapkan dua kalimah syahadah di pejabat pertubuhan berkenaan.
Firdaus turut meluahkan rasa syukur atas hidayah yang diberikan serta menghargai peranan sahabat-sahabat yang membantu dalam proses tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Islam untuk menghubungi pihak MRM bagi mendapatkan bimbingan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para penyumbang dan penyokong usaha dakwah pertubuhan itu selama ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


