DATUK Dr. Muhamad Akmal Saleh pun puji JDT. Itu realiti yang mungkin buat sesetengah pihak rasa kurang selesa.
Bila Akmal Saleh sebagai pemimpin anak muda boleh akui sesuatu yang baik, maksudnya benda itu memang jelas.
Tapi biasalah dalam bola sepak Malaysia, bila pujian datang akan ada juga cepat-cepat cari alasan untuk menidakkan.
Kalau sebut nama Tunku Mahkota Ismail, ramai terus teringat JDT. Tapi cerita sebenar lebih besar daripada sekadar satu kelab.
Ini kisah individu berpengaruh gunakan kedudukan dan sumber untuk angkat keseluruhan ekosistem bola sepak negara.
Ramai lupa, fasiliti bertaraf dunia yang ada di Johor bukan sekadar untuk kegunaan sendiri. Pasukan kebangsaan pernah gunakan kemudahan latihan di sana.
Ketika banyak fasiliti lain masih ketinggalan, sekurang-kurangnya ada satu tempat boleh jadi penanda aras.
Bukan itu sahaja, sokongan dari Tunku Mahkota Ismail juga melibatkan aspek pengurusan, profesionalisme dan standard liga.
Dalam suasana bola sepak tempatan yang sinonim dengan masalah dalaman, campur tangannya memaksa semua pihak untuk ‘upgrade’ diri.
Menariknya, bukan Akmal Saleh sahaja pernah beri kredit. Tokoh seperti Khairy Jamaluddin juga pernah memuji usaha pembangunan bola sepak moden.
Bila orang luar sistem pun nampak perubahan, ada sesuatu yang nyata sedang berlaku. Namun, seperti biasa, bila ada perubahan, akan ada penentangan.
Ada pihak yang ‘tak selesa’ mungkin sebab cara lama sudah tak relevan atau mungkin sebab perubahan mengganggu kepentingan tertentu.
Bila periuk nasi mula goyang, maka ‘berpolitik’. Sampai tahap stadium pun jadi bahan. Dari rumput, lampu, sampai ke status padang semua nak dijadikan peluru.
Sedangkan kalau benar mahu majukan bola sepak, perkara asas macam ini sepatutnya disokong, bukan dipolitikkan.
Hakikatnya, Malaysia perlukan lebih ramai yang berani buat keputusan, bukan sekadar pandai bercakap tidak serupa bikin.
Tunku Mahkota Ismail mungkin bukan sempurna, tapi sekurang-kurangnya beliau menunjukkan satu perkara penting iaitu kesungguhan.
Dalam bola sepak, itu lebih bernilai daripada sekadar retorik. Walaupun pahit, itulah hakikatnya.
Sumbangan dalam pelaburan pembangunan akar umbi juga tidak boleh dinafikan.
Akademi, pendedahan pemain muda dan standard latihan yang lebih tinggi memberi peluang kepada generasi baru untuk berkembang dengan lebih baik.
Ini bukan hasil semalaman, tapi hasil visi jangka panjang. Yang pelik, yang buat kerja pula jadi sasaran.
Sedangkan selama ini ramai hanya jadi penonton. Kritikan itu penting, tapi kalau tujuannya sekadar menjatuhkan, yang rugi bukan individu, tapi bola sepak negara.
Akhirnya, suka atau tidak, Malaysia memang perlukan figura seperti Tunku Mahkota Ismail. Bukan kerana nama atau pengaruh semata-mata.
Tetapi kerana keberanian mengubah sesuatu yang lama telah statik. – MYNEWSHUB


