KUALA LUMPUR – Seorang Senator Filipina mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka menggesa presidennya untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, wilayah yang sah di bawah kedaulatan Malaysia.
Senator Robin Padilla menyeru Presiden Ferdinand Marcos Jr. supaya mengambil tindakan segera dengan menghantar wakil rasmi bagi menegaskan tuntutan negara itu ke atas Sabah.
Dalam satu hantaran di Facebook, Padilla mendakwa Sabah – yang terletak di Pulau Borneo – kaya dengan sumber minyak dan perlu dituntut semula oleh Filipina.
“Sekarang adalah masa untuk menghidupkan semula tuntutan sah kita ke atas Sabah… kita mesti bertindak,” katanya.
Lebih mencetuskan kebimbangan, beliau turut mencadangkan agar jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Jay Tarriela, dihantar bersama kumpulannya ke kawasan berkenaan sebagai simbol tindakan.
Sabah Milik Sah Malaysia
Untuk rekod, Sabah merupakan salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia sejak pembentukan negara pada tahun 1963.
Tuntutan Filipina terhadap Sabah berpunca daripada perjanjian lama melibatkan Kesultanan Sulu, namun Malaysia secara konsisten menegaskan bahawa Sabah adalah wilayah berdaulat yang tidak boleh dipertikaikan.
Isu ini juga pernah dibawa ke peringkat antarabangsa, namun tidak pernah mengubah kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.



