KUALA LUMPUR – Kerajaan kini sedang meneliti langkah tambahan termasuk memperkenalkan peraturan kerja lebih anjal dengan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat dalam kalangan penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam terus terjamin di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.
Menurut beliau, pelaksanaan BDR itu tidak akan dilakukan secara menyeluruh, sebaliknya melibatkan pendekatan berperingkat dan terpilih mengikut kesesuaian peranan serta jabatan.
“Penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah.
“Saya percaya Insya-Allah, selain daripada sektor awam, kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan pendekatan sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan sektor swasta supaya lebih terbuka dalam mengadaptasi kaedah kerja fleksibel, sejajar dengan perubahan landskap pekerjaan pasca pandemik. – MYNEWSHUB


