KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyifatkan pembangkang hari ini sebagai ‘paling tidak berguna’ mengundang respon balas pemimpin PAS, Syahir Sulaiman.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok mempertahankan pendekatan pembangkang masa kini yang menurutnya lebih matang dan berfokus kepada solusi, bukannya sekadar menyerang.
Menurut beliau, pembangkang hari ini memilih pendekatan berbeza, tidak agresif, tidak menghasut dan tidak memfitnah.
“Ya, pembangkang hari ini tidak agresif, tidak menghasut, tidak memfitnah. Pembangkang hari ini ambil posisi menerang, ‘mencerdik’ dan mencerah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam nada sinis, beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai sebahagian daripada usaha membina politik matang dan sejahtera yang memberi keutamaan
kepada kepentingan rakyat.
Tambahnya lagi, pembangkang malah tetap tegas dalam prinsip, bukan ‘keluar sekejap’ tetapi berprinsip dan bermaruah.
Tidak terhenti di situ, Syahir turut mengkritik gaya kepimpinan semasa yang menurutnya cenderung kepada sikap angkuh, gemar berjanji kosong dan berpolitik berasaskan dendam.
“Meninggi diri, bercakap besar, berjanji kosong. Suka bermusuh, politik dendam. Kepentingan peribadi mengatasi segala,” dakwanya.
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin masa depan menawarkan kepimpinan yang lebih ideal, berwawasan, rendah diri dan mengutamakan rakyat.
Beliau turut menyindir Khairy Jamaluddin dengan ayat sinis: “Ex-Oxford should know this” (Bekas pelajar Oxford sepatutnya tahu perkara ini) – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Syahir Sulaiman


