Oleh MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim tampil mempersoalkan sikap membisu golongan mufti dan ulama tempatan berhubung sokongan terhadap Iran.
Menurut beliau, Mufti Besar Libya serta beberapa ulama dari Mesir kini menyeru umat Islam untuk menyokong Iran, malah seruan sama turut kedengaran dalam kalangan masyarakat di Pakistan.
“Tiada istilah berkecuali dalam al-Quran. Ia sentiasa berkaitan pertarungan antara kebaikan dan kejahatan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Namun begitu, beliau meluahkan kekecewaan apabila mendakwa tiada sebarang pendirian jelas daripada sembilan mufti dan ribuan agamawan di negara ini.
“Kenapa? Kerana walaupun kita sering mendakwa sebagai negara Islam, hakikatnya kita hanyalah boneka seperti Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. Islam hanya pada nama, semangatnya sudah mati,” katanya.
Zaid turut mengkritik keutamaan yang menurutnya lebih cenderung kepada keselesaan dan kemewahan berbanding pengorbanan demi keadilan, kebebasan dan maruah ummah.
Dalam masa sama, beliau menyentuh persepsi terhadap Iran yang sering dilabel sebagai negara pengganas oleh pihak Zionis, sambil menegaskan bahawa ia berpunca daripada sokongan tidak berbelah bahagi negara itu terhadap hak rakyat Palestin serta mempertahankan Gaza.
“Kita pula tidak menyokong apa-apa yang mulia,” katanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Datuk Zaid Ibrahim


