Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas kesempatan seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Seri Paduka bertitah, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya simbol kemenangan selepas umat Islam berusaha mempertingkatkan ibadah serta menyucikan jiwa sepanjang Ramadan.
“Syukur kita ke hadrat Allah SWT, Tuhan Pemerintah seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia Rasul serta para sahabat Baginda,” titah baginda menerusi Perutusan Raya 2026 Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, nikmat menyambut Syawal wajar diraikan dengan penuh kesyukuran selain menginsafi perjalanan rohani yang telah dilalui sepanjang bulan mulia itu.
“Alhamdulillah, kita dikurniakan nikmat menyambut Aidilfitri dan bertemu lagi bulan Syawal setelah mengejar segala ganjaran ibadah dan menyucikan jiwa dalam kemuliaan bulan Ramadan”
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar tidak melupakan saudara seagama di seluruh dunia yang sedang diuji dengan konflik dan penderitaan.
“Dalam kita meraikan Hari Raya, marilah kita bersama-sama memanjatkan doa yang berterusan kepada Allah SWT, agar nasib umat Islam di seluruh dunia, terutamanya mereka yang tertindas dalam kancah keganasan, dapat dipelihara serta dikurniakan kemenangan dan keamanan sejagat, Insya-Allah,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.
“Beringatlah juga kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam kalangan kita, dan terus hulurkan bantuan meringankan beban mereka yang memerlukan.”
Dalam titah tersebut, Seri Paduka Baginda turut berharap agar segala amalan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dapat membentuk umat Islam yang lebih istiqamah serta taat kepada perintah Allah SWT.
“Semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan menjadikan kita semua umat yang lebih istiqamah dan taat kepada Alah SWT,” titah baginda. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


