Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya rakyat Malaysia jangan lupa terhadap lima prinsip Rukun Negara yang turut mengandungi prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’
Baginda bertitah, masyarakat negara ini tidak boleh menerima orang yang kurang ajar sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri.
“Di manakah kekurangannya kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini sehingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?
“Masih segar lagi tentang stokin tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, ada pula pijak al-Quran dan kedengaran juga golongan yang kurang ajar di masjid, serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan dan perpecahan,” titah baginda menerusi Perutusan Raya 2025 Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda ingin mengulangi nasihat yang diberikan dalam perutusan Hari Raya tahun lalu, tetapi nampaknya ramai yang lupa atau buat tidak endah iaitu sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi.
Titah baginda, ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amarah, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa.
Yang di-Pertuan Agong namun bertitah baginda percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tahu membawa diri dengan adab yang baik dalam kehidupan seharian dan suara majoriti mesti mengatasi serta mendiamkan suara yang tidak beradab.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan kepada semua pihak terhadap pepatah ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ dan harus bersyukur dengan keamanan yang sedang dinikmati tatkala negara lain mengalami peperangan.
Sultan Ibrahim bertitah, pengurusan isu-isu sensitif oleh pihak berkuasa pula mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan serta tiada ruang untuk kesilapan.
“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara. Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong seterusnya mendoakan semoga sekalian rakyat dan negara ini dilindungi daripada musibah serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kukuh.
“Berhati-hatilah di jalan raya dan makan dengan berhemah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah Seri Paduka Baginda. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


