Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ucapan Eidulfitri oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, Modi menyampaikan ucapan tersebut ketika berhubung dengannya lewat petang tadi.
“Saya hargai ucapan beliau kepada keluarga dan rakyat Malaysia bersempena sambutan Eidulfitri Mubarak yang bakal tiba,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, perbincangan beliau dengan Modi bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan.
Menurutnya, beliau berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.
“Kami sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.
“Kami turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS,” katanya.
Anwar menegaskan, kerjasama padu itu menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


