Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu binaan rumah anutan tanpa mengikut undang-undang.
Menurut beliau, perkara yang dipersetujui dalam pertemuan antara badan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam adalah penubuhan satu jawatan kuasa bersama oleh kerajaan.
“Kami bersama mendesak satu jawatan kuasa bersama ditubuh oleh kerajaan bagi berdialog dan membincangkan penyelesaian isu isu sensitif secara tertutup dan bebas dari provokasi pihak ketiga.
“Adakah kami kompromi dan tunduk kepada tuntutan? Tidak. Kami tegaskan dan bersetuju bahawa semua rumah anutan mestilah mengikut undang-undang.
“Jika tak mengikut undang undang ia tidak diiktiraf dan boleh dirobohkan. Cara perobohan pula dibuat dengan kerjasama semua agar keamanan tidak tergugat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Zainul Rijal berkata, ramai menghubungi beliau mengucapkan tahniah dan ada juga mengecam apabila keluar berita beliau dan NGO Islam berdamai dengan NGO India atau Hindu.
Menurut beliau, memang betul ada perbincangan berdamai bagi mengelakkan titik panas yang ada terus membarah dan akan menggugat keamanan negara.
Bagaimanapun, kata beliau, pertemuan itu tidak membincangkan kes secara spesifik kerana itu akan dilakukan oleh jawatan kuasa tersebut.
“Apa yang dipersetujui adalah untuk berdamai. Sebenarnya ramai orang India setuju kuil tidak mengikut undang-undang adalah salah dan tidak perlu wujud.
“Cuma cara perobohan perlu diteliti apabila ia melibatkan patung sembahan dan benda yang dianggap suci oleh orang India.,” katanya
Ujar beliau, hanya pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu sahaja yang mempolitikkan isu tersebut dan menghasut kaum India dengan perkara tidak wajar.
“Suatu jawatan kuasa yang akan ditubuh nanti menjadi wadah untuk menyelesaikan kemelut sensitif secara bersama dan berunding,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal pihak yang sering memprovokasi isu tersebut tidak hadir dalam rundingan berkenaan.
“Bagi pihak kami membawa figura yang pihak (NGO) India sering mengadu dan mereka memberi penjelasan apa yang mereka katakan bagi meredakan keadaan.
“Namun bagi pihak sebelah sana mereka tidak hadir. Yang hadir pula bukan dalam kalangan mereka. Yang hadir mahu mencapai perdamaian. Yang tidak hadir saya tidak tahu.
“Pada saya perbincangan dibuat dengan penuh harmoni dan beradab. Kita mahu mengorak langkah seterusnya untuk Malaysia yang lebih aman.
“Ketahuilah kita tidak tunduk kepada tekanan. Prinsip asas masih utuh kami pegang. Terpulang kepada Tuan Puan menilainya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zainul Rijal Abu Bakar


