Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu hanyalah persinggahan sementara bagi tujuan logistik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran kapal tersebut merupakan ‘port of call’ sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menurut beliau, persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama diamalkan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
“Ini sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan selain memelihara kedaulatan serta keutuhan wilayah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tujuan utama ‘port of call’ bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang rehat kepada anak kapal.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia mempunyai prosedur dan dasar jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
“Setiap permohonan untuk berlabuh perlu melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” jelasnya.
Ujar beliau, persinggahan seperti itu juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara.
“Sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Sepanjang tahun 2025, Malaysia merekodkan sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui aktiviti ‘port of call’, termasuk Australia, Britain, China, India, Jepun dan Amerika Syarikat. – MYNEWSHUB


