Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dilaporkan berada di Riyadh, Arab Saudi perlu segera dibawa pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Ahli Dewan Negara, R. A. Lingeshwaran berkata, tindakan itu perlu dilakukan tanpa sebarang kelewatan kerana keadilan yang tertunda adalah keadilan yang dinafikan.
“Contoh yang tegas perlu ditunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira status atau hubungan mesti menghadapi akibat perbuatannya.
“Ini tentang menegakkan 3 R: Rule of law (Kedaulatan Undang-undang), Responsibility (Tanggungjawab), dan Respect for justice (Hormati Keadilan),” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Lingeshwaran turut mengingatkan keadilan yang tertunda adalah keadilan yang dinafikan dengan merujuk kepada kes melibatkan M. Indira Gandhi yang berlarutan selama bertahun-tahun.
Katanya, selama 16 tahun wanita itu berjuang untuk bersatu semula dengan anak bongsunya selepas kanak-kanak tersebut dibawa oleh bekas suami pada tahun 2009 dan ditukar agama secara unilateral.
“Ini menunjukkan betapa bahayanya apabila undang-undang dipintas atau tertangguh. Kita tidak boleh membiarkan kisah berpanjangan yang sama berlaku di sini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan Tamim Dahri dibawa pulang dengan segera serta proses undang-undang dilaksanakan secara tegas dan telus. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lingesh RA


