Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut akan dilaksanakan selama dua hari bermula 18 Mac hingga 19 Mac 2026.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya.
“Kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat khususnya menjelang musim perayaan. – MYNEWSHUB


