Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyambut baik langkah Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk kembali bersama parti itu.
Beliau berkata, ia mencerminkan usaha berterusan untuk menyatukan semula kekuatan parti khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli yang pernah berjuang di bawah panji UMNO.
Menurutnya, pendekatan penyatuan perlu menjadi keutamaan ketika ini berbanding terus berpecah yang hanya melemahkan perjuangan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Alhamdulillah. Kita menyatupadukan, bukan memecah-belahkan. Welcome home (Selamat pulang) Khairy Jamaluddin,” katanya ringkas menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama parti itu.
Ahmad Zahid berkata, beliau menerima kunjungan Khairy pada malam ke-26 Ramadan bagi menyampaikan sendiri permohonan berkenaan.
Menurut beliau, perkembangan itu antara makna sebenar inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan beliau bagi menemukan semula pemimpin yang pernah berpisah daripada parti tersebut.
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa, sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” katanya.
Tambahnya, secara peribadi beliau telah menerima permohonan tersebut sebelum ia dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diperhalusi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


