Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha dilakukan UMNO sejak dulu bagi memperkukuh pendidikan berteraskan Islam di negara ini, tetapi akhirnya dituduh tidak memperjuangkan agama.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang melahirkan kekesalannya berkata, banyak lagi dilakukan UMNO untuk Islam di Malaysia selain tentang pendidikan.
“Dari tadika UMNO wujudkan tadika Kemas pra tahfiz. Sekolah menengah kita buat MRSM tahfiz. Lepasan sekolah kita buat juga TVET tahfiz.
“Dan akhirnya kami dituduh tidak perjuangkan agama,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO sekarang tidak lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara, tetapi hanya mahu menang pilihan raya.
Abdul Hadi sebelum ini menegaskan pendirian PAS untuk tidak menyertai gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO kerana menyifatkan konsep tersebut tidak berteraskan Islam.
“Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, namun dapat dibaca segala yang tersirat. Hal ini demikian kerana, tetap bersahabat dan berwalak kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan,” kata Abdul Hadi.
Sementara itu, Akmal berkata, bukan mudah untuk penyatuan Melayu Islam dilaksanakan, tetapi UMNO akan meneruskannya kerana demi Allah, bukan demi pemimpin. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


