Oleh Mynewshub
SEMALAM menyaksikan satu majlis ringkas tapi penuh makna di Wisma Putra iaitu Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP)
Satu detik yang menunjukkan betapa rakyat Malaysia tak pernah lupa akan penderitaan rakyat Palestin. Jumlah sumbangan?Sebanyak RM10.35 juta.
Sebuah angka yang bukan sekadar nombor, tapi lambang solidariti rakyat dan syarikat korporat Malaysia terhadap penderitaan Gaza yang musnah akibat kekejaman rejim Zionis.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad dan Plus Malaysia Berhad.
“Keprihatinan mereka membantu rakyat Palestin yang menderita atas kekejaman rejim Zionis Israel amat dihargai,” tegas Mohamad.
Lebih penting, tabung ini diurus dengan penuh amanah. Setiap sen disalurkan secara telus, dipantau dan diaudit supaya sampai terus ke tangan mereka yang memerlukan.
Kepercayaan rakyat dan korporat Malaysia diterjemahkan dengan tanggungjawab dan Malaysia sekali lagi membuktikan hati negara ini tetap bersama Palestin.
Kesimpulannya, solidariti Malaysia untuk Palestin bukan sekadar kata-kata, tapi tindakan nyata melalui sumbangan yang membawa harapan. – MYNEWSHUB


