Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – “Mari kita duduk berdua dulu tentukan apa yang boleh di capai kesepakatan terutama antara UMNO dan PAS”
Demikian permintaan bekas Setiausaha Agung UMNO yang kini bersama PAS, Tan Sri Annuar Musa kepada parti lama beliau.
Menurut beliau, PAS mahu paksi politik bertunjangkan muafakat UMNO dan PAS, bukan muafakat UMNO, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
“Isu perpaduan umat adalah isu yang ‘straight forward’. Tak usah rumitkan dengan mereka-reka itu dan ini. Semua itu formula untuk gagal.
“Majoriti Melayu bersatu bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN), tapi PAS mahu lengkapkan lagi penyatuan dengan mengajak UMNO,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan PAS menolak pelawaan UMNO menyertai agenda ‘Rumah Bangsa’ yang turut disertai parti kompenan Pakatan Harapan (PH)
Annuar berkata, perpaduan Melayu Islam tidak memerlukan ‘rumah itu’ atau ‘rumah ini’ yang sekadar menimbulkan polemik.
Menurut beliau, apa yang perlu adalah muafakat Melayu Islam didahulukan dengan yang lain yang tidak ekstreme tidak di pinggirkan.
“Jika mahu, maka jadilah ia (muafakat UMNO PAS) satu realiti. Jika tidak mahu PAS dan PN Insya-Allah tetap jalan terus.
“Yakin rakyat akan lebih sepakat dalam PRU-16 dan kita bersama menuju era baru politik Malaysia yang lebih baik, lebih sejahtera buat semua,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Tan Sri Annuar Musa


