Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – PAS menegaskan pendiriannya untuk tidak menyertai gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO kerana menyifatkan konsep tersebut tidak berteraskan Islam.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menghantar pemerhati bagi menghadiri pertemuan baru-baru ini sekadar memenuhi jemputan serta menilai sendiri hala tuju inisiatif yang diwar-warkan oleh UMNO.
Menurut beliau, pertemuan itu dilihat lebih kepada usaha menyatupadukan orang Melayu atas dasar kebangsaan semata-mata tanpa meletakkan Islam sebagai asas utama perjuangan.
“PAS telah menghantar pemerhati ke satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan ‘Rumah Bangsa’ yang diiklankan oleh UMNO bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir.
“Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, namun dapat dibaca segala yang tersirat. Hal ini demikian kerana, tetap bersahabat dan berwalak kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, umat Islam wajib berhati-hati memilih rakan politik supaya tidak tersilap berkawan dengan pihak yang boleh merosakkan urusan agama dan kehidupan dunia.
Dakwanya, situasi itu malah menyebabkan kegelisahan dalam kalangan ahli UMNO sendiri apabila perjuangan parti tersebut dilihat semakin menyimpang.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak bersedia memasuki gagasan ‘Rumah Bangsa’ kerana menganggapnya ibarat sebuah rumah yang tidak selamat untuk didiami.
“PAS tidak bersedia memasuki ‘Rumah Bangsa’ yang ditawarkan oleh UMNO yang bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat.
“Rumah yang tercabut dinding dan ditebuk atapnya kerana mudah dimasuki air dan ditiup angin,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: FB Abdul Hadi Awang


