Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memaklumkan beliau sudah menjangka tuduhan dirinya berdiam diri ketika berlaku penghinaan terhadap al-Quran akan dibangkitkan di media sosial.
Beliau mendakwa, tuduhan tersebut tidak tepat kerana dirinya antara individu terawal yang mengeluarkan kenyataan mengutuk insiden berkenaan.
“Saya sudah agak tuduhan ini akan dilemparkan bila saya keluar kenyataan semalam. Memang sejak insiden penghinaan terhadap al-Quran bulan lepas, ramai yang tuduh saya membisu sampai saya kena siar semula kenyataan saya.
“Nah, sekarang jadi lagi. Walhal saya antara yang awal juga mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk tindakan menghina al-Quran,” dakwanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Syahredzan berkata, beliau terbuka menerima kritikan dan kecaman, namun meminta orang ramai berlaku adil serta membuat semakan sebelum melemparkan tuduhan.
“Saya okay sahaja terima kritikan atau kecaman. Tetapi berlaku adil pada saya lah. Tabayyun sebelum tibai. Google dan ChatGPT pun ada zaman ini, atau scroll sahaja page saya,” katanya sinis.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghentikan fitnah dan memanfaatkan baki 10 malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadah.
“Sudah-sudahlah memfitnah, banyakkan amal ibadah dalam 10 malam terakhir Ramadan ini. Peringatan buat diri saya sendiri juga,” ujarnya.
Pemimpin Melayu DAP itu sebelum ini menggesa tindakan segera diambil terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu.
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau dan tidak boleh dikompromi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Gambar: FB Syahredzan Johan


