Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – “Media sosial memberi ruang kepada semua untuk bersuara, namun saya yakin Bangsa Johor mengenali siapa sebenarnya Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail”
Demikian ulasan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung kritikan demi kritikan yang dicetuskan di media sosial bertujuan menamatkan pengaruh serta kredibiliti Tunku Mahkota Ismail sejak kebelakangan Ini.
“Sebagai Menteri Besar Johor, saya sendiri menyaksikan bagaimana banyak perkara digerakkan oleh TMJ (Tunku Mahkota Ismail) lahir daripada satu keinginan yang jelas iaitu melihat Johor menjadi negeri yang lebih maju, berdaya saing dan rakyatnya hidup dengan lebih baik.
“TMJ sentiasa meletakkan tanda aras yang tinggi untuk JDT. Penanda aras yang sama diletakkan terhadap kepimpinan negeri termasuk saya sendiri, barisan Exco serta kepimpinan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS).
“Tuanku sering mengingatkan bahawa amanah memimpin negeri bukan sekadar soal jawatan, tetapi tanggungjawab untuk bekerja lebih keras, berfikir lebih jauh dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, dalam bidang pendidikan, Tunku Mahkota Ismail sering menekankan bahawa masa depan Johor mesti dibina melalui pendidikan yang berkualiti untuk generasi muda.
Justeru, katanya, lahir idea seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor bagi membina generasi anak Johor yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki kepimpinan dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global.
Katanya, dalam aspek pembangunan belia pula, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta gerakan Southern Volunteers menghimpunkan ribuan anak muda Johor untuk turun membantu masyarakat ketika bencana dan situasi kecemasan.

“Inisiatif ini membentuk generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mempunyai semangat khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, Tunku Mahkota Ismail juga sering menekankan bahawa kemajuan ekonomi negeri mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, Tunku Mahkota Ismail sentiasa menekankan kepentingan membawa masuk pelaburan berkualiti yang mampu menyediakan pekerjaan dengan gaji premium kepada anak muda Johor.
Ujar beliau, hasil usaha bersama pelbagai pihak, Johor juga telah mencapai satu pencapaian penting apabila berjaya menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
“Pada masa sama, lebih 20,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan didiami oleh rakyat Johor, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga memiliki kediaman.
“Ramai juga mungkin tidak mengetahui bahawa idea Infaq Jumaat Johor yang kini memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat setiap minggu diinspirasikan oleh Tuanku terhadap golongan yang memerlukan. Inilah sisi yang jarang diperkatakan,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, ramai melihat Tunku Mahkota Ismail hanya melalui ketegasan Tuanku dalam mempertahankan standard bola sepak.
Bagaimanapun, katanya, jika dilihat secara lebih menyeluruh, visi Tunku Mahkota Ismail terhadap Johor meliputi pendidikan, pembangunan belia, ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan rakyat.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana masyarakat yang matang. Namun janganlah kerana satu perkara kita membiarkan diri kita berpecah. Johor berada pada tahap hari ini kerana kita bergerak bersama sebagai satu Bangsa Johor.
“Saya mengajak seluruh rakyat Johor untuk terus memelihara semangat kebersamaan ini. Marilah kita saling menghormati dan terus bersatu dalam membina masa depan Johor yang lebih maju dan sejahtera untuk generasi akan datang. Raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya. – MYNEWSHUB


