Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – “Adakah anda terfikir bukankah sudah agak terlewat, tetapi terima kasih atas penjelasan”
Demikian komen ringkas Tunku Mahkota Ismail pada satu akaun X yang membuat tuduhan terhadap kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT)
Pemilik akaun X tersebut terlebih dahulu memaklumkan dia telah memadam hantaran yang mengaitkan JDT dengan penggunaan dana awam tersebut.
“Saya telah memadam hantaran asal saya kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar dengan tepat,” kata pemilik akaun X tersebut.
JDT dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan bahawa 91 peratus pendapatan kelab pada tahun 2024 datang daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards menjelaskan bahawa dana tajaan daripada syarikat swasta lazimnya disalurkan melalui majlis sukan negeri bagi tujuan pelepasan cukai.
Beliau turut menegaskan bahawa geran kerajaan dan sumbangan yang diberikan adalah khusus untuk pembangunan sukan akar umbi termasuk penganjuran kejohanan belia serta program pembangunan di seluruh daerah di Johor.
Menurutnya, dana tersebut tidak digunakan bagi operasi kelab seperti perbelanjaan pasukan utama, gaji pekerja, operasi akademi mahupun penyelenggaraan aset kelab. – MYNEWSHUB



