MIRI – Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun berjaya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes cubaan mencuri di sebuah pasar raya di bandaraya Miri yang videonya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan dan siasatan yang dijalankan.
Menurut beliau, suspek ditahan di sebuah stesen minyak di bandaraya Miri ketika sedang membuat persiapan untuk melarikan diri ke daerah lain.
“Suspek kini ditahan di lokap dan akan dipohon reman pada 7 Mac 2026 di Mahkamah Miri bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri. –MYNEWSHUB
