Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan pendirian kerajaan berhubung operasi loji nadir bumi milik Lynas di Malaysia.
Menurut beliau, syarikat tersebut telah menerima lesen operasi selama 10 tahun dan berkemungkinan disambung untuk tempoh yang sama selepas itu.
“Lynas menerima lesen selama 10 tahun, dan tentunya akan mendapat lagi 10 tahun selepas itu. Kita pun tidak memilikinya; ia dimiliki oleh Amerika Syarikat dan Australia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menyentuh janji Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini yang dikatakan mahu menutup operasi Lynas sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya.
Dalam masa sama, Zaid membandingkan pendekatan Malaysia dengan Norway yang menurutnya telah menemui antara deposit nadir bumi terbesar di Eropah, namun kerajaan negara itu tidak membenarkan eksploitasi sumber berkenaan kerana bimbang terhadap risiko radiasi radioaktif.
“Di situlah bezanya antara kerajaan yang bertanggungjawab dan bermoral dengan kerajaan yang palsu,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Datuk Zaid Ibrahim


