NILAI – Ratusan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdepan detik luar biasa apabila terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan masing-masing selepas laluan berhampiran Hentian Sebelah Nilai ditenggelami banjir pada petang Khamis.
Kejadian dipercayai berlaku selepas hujan lebat bermula sekitar jam 6 petang menyebabkan air melimpah dan menenggelamkan laluan empat lorong arah selatan di kawasan berkenaan.
Keadaan banjir sepanjang kira-kira 100 meter itu menyebabkan kenderaan ringan seperti motosikal dan kereta tidak dapat meneruskan perjalanan, manakala hanya kenderaan berat dilihat berani meredah laluan yang dinaiki air.
Situasi tersebut sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang panjang apabila kenderaan terpaksa berhenti menunggu paras air surut.
Lebih menyentuh hati, ramai pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke rumah terpaksa berbuka puasa di dalam kereta ketika waktu Maghrib, dengan sebahagian mereka dilihat menjamah makanan ringkas yang dibawa bersama.
Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang terkejut kerana kejadian banjir di lebuh raya utama seperti PLUS jarang berlaku.
Difahamkan, banjir tersebut turut menjejaskan laluan arah bertentangan ke utara apabila sebahagian laluan dinaiki air, namun masih boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Sehingga sekitar jam 7.13 malam, paras air dilaporkan masih belum surut sepenuhnya dan kesesakan trafik di kawasan berkenaan mencecah lebih dua kilometer.
Orang ramai yang melalui kawasan tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati serta mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


