Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kuil tanpa dokumen tanah yang jelas atau kuil baharu yang masih dalam semakan pihak berkuasa tidak bermaksud kuil tersebut tidak sah secara moral atau sosial.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan (NHTSC), Arun Dorasamy berkata, kuil itu sebaliknya memerlukan bimbingan dan sokongan mencapai kestabilan perundangan dan pentadbiran.
Ujar beliau, kuil yang struktur pengurusannya tidak tersusun dan tidak aktif juga memerlukan bimbingan dan sokongan yang sama.
“Tindakan yang disyorkan adalah memberi bimbingan tadbir urus kepada jawatankuasa kuil serta menyusun dokumentasi dan pendaftaran organisasi.
“Berunding dengan pihak berkuasa tempatan, menyusun strategi penyelesaian jangka panjang. Matlamatnya membantu kuil keluar daripada keadaan tidak menentu kepada status yang lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di media sosial.
Terdahulu, Arun berkata, Malaysia mempunyai ratusan rumah ibadat Hindu yang wujud dalam pelbagai keadaan daripada segi status tanah, sejarah penubuhan, dan tahap pematuhan perundangan.
Menurut beliau, sebahagian kuil mempunyai geran tanah yang jelas, manakala sebahagian lagi wujud sejak zaman ladang, penempatan awal atau sebelum merdeka tanpa dokumentasi rasmi.
Justeru, katanya, bagi memastikan setiap kuil dapat ditangani secara adil, tersusun dan berhemah, satu kerangka pengkategorian telah dibangunkan oleh NHTSC.
Kata beliau, ia bagi membantu komuniti, pihak berkuasa dan pemegang taruh memahami status sebenar sesuatu kuil serta langkah penyelesaian yang sesuai.
“Kategori Merah merujuk kepada kuil yang menghadapi cabaran dokumentasi, tadbir urus atau pematuhan peraturan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Arun Dorasamy


