Oleh Mynewshub
GEORGE TOWN – Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran tular di media sosial yang menyentuh tentang satu perhimpunan mahu diadakan di sebuah kuil berdekatan pintu masuk Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan dimulakan susulan laporan dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer semalam berhubung satu hantaran di Facebook oleh seorang penceramah dikenali sebagai Zamri Vinoth.
“Polis Pulau Pinang telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang berunsur provokasi atau membuat spekulasi sehingga boleh mencetuskan perasaan niat jahat serta permusuhan antara kaum.
Pada masa sama, polis turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.
“Pihak polis sentiasa memantau rapi perkembangan keadaan ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya. – MYNEWSHUB




