Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (Tepat), Arun Dorasamy mendakwa Kuil Sri Dewi Muniswarar berhampiran Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang telah wujud sejak 136 tahun lalu.
Beliau mendakwa, fakta serta dokumen sejarah menunjukkan rumah ibadat itu dibina sekitar tahun 1890 oleh pentadbiran British dan ketika itu ramai pekerjanya terdiri daripada komuniti India.
“Bagi memenuhi keperluan keagamaan mereka, sebuah kuil kecil diwujudkan berhampiran kuarters kakitangan hospital untuk tujuan sembahyang dengan pengetahuan pihak pengurusan hospital sebagai pemilik tanah,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendakwa kerja pengubahsuaian pada tahun 1998 ke atas kuil itu dibuat mengikut prosedur ditetapkan termasuk memperoleh permit pembinaan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai serta surat kebenaran pemilik tanah iaitu Hospital Bukit Mertajam.
“Ini membuktikan sebarang ubah suai dilakukan secara rasmi dan dengan kebenaran pihak berkaitan,” katanya.
Justeru, Arun mendakwa, kuil berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah sosial dan warisan bandar Bukit Mertajam. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Arun Dorasamy


