Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam melahirkan rasa sangat kecewa selepas usul bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun gagal diluluskan di Parlimen semalam.
Azli Yusof yang juga pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, keputusan tersebut sesuatu yang amat mengecewakan sehingga menjejaskan selera berbuka puasanya.
“Sangat mengecewakan. Kurang selera berbuka puasa tadi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam.
Menceritakan keadaan semalam, Azli berkata, sekitar pukul 6.45 petang, keputusan kiraan undi belah bahagian bagi RUU tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Katanya, pada awalnya beliau menjangkakan RUU yang memerlukan sokongan dua pertiga majoriti iaitu sekurang-kurangnya 148 undi akan diluluskan memandangkan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan yang memenuhi dewan ketika itu.
“Awalnya, saya menjangkakan RUU yang perlukan sokongan 2/3 majoriti (148 undi) ini akan diluluskan melihat kehadiran Ahli Parlimen kerajaan yang memenuhi dewan.
“Malangnya reformasi institusi yang penting ini gagal kerana kurang dua undi,” katanya lagi.
Berdasarkan keputusan rasmi, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir ketika undian dijalankan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua Ahli Parlimen daripada Amanah hadir dan memberikan sokongan terhadap RUU berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Azli Yusof


